Monday, June 28, 2010

TM NEGERI SEMBILAN ANJUR “TM AMAZING RACE 2010 NEGERI SEMBILAN D’CULTURE CHALLENGE” BERSAMA PELANGGAN


TM Negeri Sembilan dengan kerjasama pihak Tourism Malaysia Negeri Sembilan telah menganjurkan program “TM Amazing Race 2010 Negeri Sembilan D’Culture Challenge” pada 25hb sehingga 27hb Jun 2010 untuk para pelanggan korporat dari segmen SME, Enterprise dan Kerajaan. Program ini merupakan satu pertandingan pengembaraan berkenderaan yang menggabungkan aktiviti-aktiviti yang mencabar keupayaan minda serta fizikal para peserta merentasi destinasi-destinasi pelancongan popular di Negeri Sembilan. Seramai 112 orang peserta yang terdiri daripada 28 buah syarikat yang merupakan pelanggan korporat TM Negeri Sembilan termasuk 2 pasukan jemputan media mengambil bahagian dalam cabaran ini. Setiap pasukan terdiri daripada 4 orang peserta dalam setiap kenderaan. Program ini diadakan sebagai program penghargaan kepada para pelanggan korporat TM Negeri Sembilan dan juga sebagai platform bagi merapatkan lagi hubungan baik di antara syarikat-syarikat yang mengambil bahagian. Program ini yang mendapat kerjasama pihak Tourism Malaysia Negeri Sembilan, turut membantu inisiatif kerajaan Negeri Sembilan bagi mempromosikan produk-produk pelancongan menarik di Negeri Sembilan. Program ini mendedahkan para peserta dengan keunikan budaya serta keindahan destinasi pelancongan di Negeri Sembilan. Para peserta diberi set soalan yang perlu dijawab sepanjang perjalanan, mencari harta karun yang tersembunyi serta melakukan aktiviti-aktiviti kebudayaan yang sinonim dengan adat resam Negeri Sembilan.

Majlis perlepasan peserta program telah disempurnakan oleh Salmah Mohd Taufek, Pengurus Besar TM Negeri Sembilan dan juga Hishamuddin Mustaffa, Pengarah Tourism Malaysia Negeri Sembilan pada 26hb Jun 2010 di tempat letak kereta restoran A&W Seremban jam 7.30 pagi dan cabaran peserta berakhir di Hotel Avillion Admiral Cove, Port Dickson di sebelah petang. Disamping mencari harta karun dan menjawab soalan-soalan berkenaan kebudayaan Negeri Sembilan serta produk TM, para peserta telah melalui pelbagai cabaran seperti bermain gasing di Taman Budaya Seremban, menempuh aktiviti air dan cabaran ‘Fear Factor’ di Jeram Toi, Kuala Klawang dan melakukan aktiviti kebudayaan di Muzium Adat, Kuala Klawang. Para peserta turut dikehendaki melayari laman web TM melalui perkhidmatan Jelebu Hotzone yang terdapat disekitar pekan Kuala Klawang dan menjawab beberapa soalan berkenaan produk dan perkhidmatan TM. Di perkampungan Inap Desa Lonek, para peserta dihidangkan dengan lauk pauk tradisi dan dikehendaki melakukan tarian kebudayaan dihadapan khalayak ramai. Para peserta seterusnya telah meneruskan perjalanan ke Johol dan Tampin sebelum mengharungi cabaran di Kompleks Bersejarah Pengkalan Kempas, cabaran ‘Go-Kart’ di Extreme Park, Muzium Tentera Port Dickson dan menggali harta karun yang tertanam di pantai sebelum mengakhiri cabaran di Avillion Admiral Cove Resort, Port Dickson.

Majlis penyampaian hadiah telah diadakan pada hari Sabtu, 26hb Jun 2010 di Avillion Admiral Cove Resort, Port Dickson dalam satu majlis makan malam yang bertemakan ”Pirates of the Carribean”. Pasukan jemputan daripada Tourism Malaysia, telah berjaya memenangi tempat pertama dan membawa pulang hadiah barangan elektrik bernilai RM 3,000.00. Tempat kedua pula diraih oleh Syarikat Samsung (M) Sdn. Bhd yang merupakan pelanggan korporat segmen Enterprise TM Negeri Sembilan telah membawa pulang hadiah barangan elektri bernilai RM 2,000.00. Pelanggan segmen SME TM iaitu Syarikat Xyratex (M) Sdn. Bhd pula ditempat ketiga dengan membawa pulang hadiah barangan elektrik bernilai RM 1,000.00. Para pelanggan turut dihiburkan dengan penampilan istimewa artis undangan ’Aizat & The Band’ semasa majlis makan malam tersebut berlangsung.

No comments:

Post a Comment