Sunday, November 30, 2008

TM Amazing Race 2008

Biro Sosial & Rekreasi Kelab TM Malaysia dengan kerjasama Tourism Malaysia Negeri Sembilan dan Kelab TM Negeri Sembilan telah menganjurkan program TM Amazing Race 2008 buat julung kalinya di Port Dickson, Negeri Sembilan dari 28hb hingga 30hb November 2008.

Program yang diadaptasi daripada sebuah program popular televisyen ini bertujuan untuk mempromosi pelancongan di Negeri Sembilan di samping menawarkan hadiah dan wang tunai berjumlah RM 4,000.00 kepada pemenang.

Kira-kira 45 buah kenderaan yang terdiri daripada 4 orang sepasukan bertanding bagi merebut hadiah yang ditawarkan dimana pertandingan terbahagi kepada Kategori Kelab TM Negeri dan juga Kategori Pelanggan Korporat TM.

Program ini adalah bertujuan untuk mempromosikan produk-produk perlancongan di Negeri Sembilan disamping untuk memberi penghargaan kepada pelanggan-pelanggan korporat TM yang turut dijemput untuk bertanding didalam program ini.

Majlis Perlepasan peserta telah disempurnakan pada 29hb November 2008 oleh Presiden Kelab TM Malaysia, Dato’ Abdul Aziz Bin Abu Bakar dengan kehadiran Naib Presiden Biro Sosial & Rekreasi Kelab TM Malaysia, Puan Salmah Mohd Taufek dan juga Pengarah Tourism Malaysia Negeri Sembilan, En. Hishamuddin Mustafa.

Para peserta telah menjelajah bermula di persisiran pantai Port Dickson menuju ke tapak bersejarah di Muzium dan Kota Lukut di mana beberapa aktiviti telah diatur.

Seterusnya peserta menuju ke Muzium Negeri, Seremban dimana para peserta dicabar untuk bertutur dalam dialek Negeri Sembilan dihadapan Datuk Adat sebelum menikmati hidangan masakan tempatan di Istana Ampang Tinggi dan Rumah Minangkabau.

Hutan Lipur Ulu Bendol menjadi destinasi seterusnya dimana peserta telah melakukan aktiviti-aktiviti seperti Teh Tarik dan Perlumbaan Menarik Upeh.


Istana Seri Menanti menjadi persinggahan seterusnya dimana para peserta dikehendaki untuk bermain alat muzik tradisional iaitu Caklempong.

Cabaran diteruskan dengan aktiviti membuat Kristal di Rembau Kristal sebelum para peserta dikehendaki menelan telur burung unta dan menunggang burung unta di PD Ostrich Farm.

Di The Eagle Ranch Resort para peserta terpaksa berkayak menggunakan perahu buatan sendiri sebelum menunggang Bot Pisang ke garisan penamat di Regency Resort, Port Dickson.

Pemenang tempat pertama dan seterusnya menggondol wang tunai berserta hadiah bernilai RM 4000.00 bagi kategori Kelab TM adalah pasukan daripada Kelab TM Kuala Lumpur iaitu Pirates of Gurney Road dengan pungutan mata sebanyak 188 mata mengalahkan pasukan SIU di tempat kedua dengan 185 mata dan membawa pulang hadiah serta wang tunai berjumlah RM 3,000.00 manakala pasukan dari Kelab TM Ibupejabat, PIP v3.0 di tempat ketiga menerima hadiah dan wang tunai berjumlah RM 2,000.00 dengan pungutan mata yang sama.

Bagi kategori pelanggan korporat TM pula, pasukan daripada Syarikat On Semiconductor muncul pemenang dengan pungutan mata 178 mata mengalahkan Syarikat Kualiti Alam Sdn Bhd di tempat kedua dengan pungutan mata sebanyak 170 mata dan pasukan Bank Simpanan Nasional tempat ketiga dengan pungutan 167 mata.

Para peserta telah diraikan dalam Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah diberi nama TM Survivors Night di Regency Resort, Port Dickson dengan persembahan tarian moden oleh Funky Sox dan juga kumpulan Shuffle Dance serta persembahan daripada kumpulan Hyper Six Band sebelum diakhiri dengan pertunjukan bunga api sebagai penutup program yang julung kalinya dianjurkan di Negeri Sembilan.

Majlis tersebut diserikan lagi dengan kehadiran YB Dato’ Mohammad Razi Hj Kail, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu Negeri Sembilan yang telah merasmikan penutupan program serta menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Turut hadir pada malam tersebut adalah Pengarah Program High Speed BroadBand TM Bhd, En. Ahmad Azhar Yahya dan juga Presiden Kelab TM Selangor, Datuk Zaini Diman.


Keratan akhbar yang diambil daripada Harian Metro keluaran 19 Januari 2009. Klik pada pautan Harian Metro Online untuk membaca artikel yang dikeluarkan oleh pihak Harian Metro mengenai program ini.

>> Galeri Gambar sepanjang program TM Amazing Race 08

Artikel disediakan oleh:

MOHAMMAD AZRI BIN A. AZIZ
SETIAUSAHA
BIRO SOSIAL & REKREASIKELAB TM MALAYSIA

Monday, November 17, 2008

PINGAT JASA KEBAKTIAN (PJK)

Zubil Hassan, seorang anggota pegawai pemasaran di Unit Consumer Sales, Negeri Sembilan telah menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) pada 17 November 2008.

Beliau menerima pingat PJK dari Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman di Istana Sri Menanti, Kuala Pilah di atas sumbangan beliau di dalam bidang kebajikan social dan politik UMNO.

Beliau seorang yang aktif di dalam beberapa badan kebajikan social iaitu, KEMAS, RELA, PEMADAM, JKK Kampung Sentosa dan menjadi Duta TM di kawasan kediaman beliau, Kampung Sentosa, Paroi.

Beliau telah berkhidmat di TM selama 25 tahun dan merupakan seorang anggota yang rajin dan bertanggungjawab.

Beliau juga telah lama berkhidmat di dalam badan kebajikan social selama 10 – 15 tahun dan sangat di hormati oleh rakan-rakan beliau.