Thursday, June 4, 2009

TM perkenal mybizpoint, sasar 5,000 PKS

KUALA LUMPUR 3 Jun - Telekom Malaysia Bhd. (TM) hari ini memperkenalkan portal perniagaan untuk pengusaha kecil dan sederhana (PKS) dikenali sebagai mybizpoint yang dijangka disertai oleh 5,000 PKS sehingga akhir tahun ini.

mybizpoint terbuka kepada semua 470,000 PKS berdaftar selain syarikat-syarikat antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Zamzamzairani Mohd. Isa berkata, setakat ini pihaknya mempunyai 30 syarikat PKS yang sudah menyertai mybizpoint.

Beliau berkata, 30 syarikat PKS berkenaan dijangka memperluaskan rangkaian mybizpoint kepada pembekal dan pengedar produk di seluruh negara.

Zamzamzairani berkata, mybizpoint merupakan langkah sokongan TM terhadap para pelanggannya yang menggunakan laluan pembayaran secara internet.

Jelasnya, pengenalannya merupakan waktu yang tepat dan menjimatkan kos perniagaan kerana setiap syarikat tidak perlu mempunyai pegawai pemasaran masing-masing.

Beliau berkata, para peniaga yang menyertai mybizpoint turut dikenakan bayaran secara tahunan iaitu RM450 setahun.

''Ini merupakan salah satu perniagaan kepada perniagaan (B to B) dan ia akan diperluaskan kepada perniagaan kepada pengguna (B to C) dan pengguna untuk pengguna (C to C) tidak lama lagi,'' katanya selepas menghadiri majlis pelancaran portal perniagaan, mybizpoint yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.

Mybizpoint merupakan enjin dagangan yang memadankan perniagaan kepada perniagaan secara automatik dalam portal mybizpoint.

Ketika ditanya objektif memperkenalkan produk baru tersebut, Zamzamzairani menambah, ia merupakan satu platform TM untuk menambah nilai perkhidmatan sedia.

Beliau berkata, mana-mana syarikat boleh mendaftar perniagaan masing-masing secara dalam talian iaitu menggunakan laman web.

Mengenai kaedah pembayaran yang diperkenalkan melalui mybizpoint, Zamzamzairani berkata, pihaknya menawarkan perkhidmatan kad kredit dan pemindahan wang dari bank.

''Kami sedang mengkaji dan akan merperluaskan lagi kaedah dan keupayaan pembayaran dan urus niaga yang dijalankan di dalam mybizpoint,'' tambah beliau.


Sumber : Utusan Malaysia, 4 Jun 2009

No comments:

Post a Comment