Tampin, 14 Nov – Lebih 100 warga kerja Telekom Malaysia sekitar negeri ini mewakili 26 kumpulan beradu tenaga sambil beriadah dalam saingan Kembara Alam Semula Jadi Bukit Tampin 2009 bermula di kaki Bukit Tampin sehingga menara pemancar, di sini, kelmarin.
Sinar Harian difahamkan, program anjuran Kelab TM negeri dengan kerjasama bahagian pengurusan itu adalah kesinambungan acara Larian Muhibah 2007 yang memberi penekanan kepada kesihatan, kecergasan minda dan semangat berpasukan.
Presidennya, Salmah Mohd Taufek berkata, pertandingan mendaki Bukit Tampin secara berkumpulan masih menjadi konsep utama program, namun terdapat beberapa kelainan untuk penganjur pada tahun ini.
Menurutnya, usaha mengumpulkan seluruh ahli kelab TM negeri itu bertujuan memberikan pendedahan gaya hidup sihat disamping membuka ruang peserta merasai suasana persekitaran alam semula jadi.
“Penganjuran Kembara Alam Semula Jadi Bukit Tampin kali ini masih mengekalkan konsep terdahulu iaitu pertandingan mendaki secara berkumpulan dan ditambah beberapa aktiviti seperti jigsaw puzzle, soalan kuiz dan cari harta diadakan.
Kehidupan seharian anggota TM yang sibuk dengan tugas dan tanggungjawab hakiki menjadikan program ini sebagai platform merehatkan diri serta minda sambil menyelami alam semula jadi sekali gus mengeratkan ukhuwah sesama sendiri,” katanya.
Salmah berkata, Kembara Alam Semula Jadi Bukit Tampin 2009 itu diharapkan dapat menyumbang ke arah pembentukan warga kerja yang sentiasa sihat dan cergas sekali gus menjadi pemangkin semangat melaksanakan tanggungjawab serta peranan masing-masing.
“Melalui penganjuran program ini, saya berharap ia memberi kesan sama ada secara langsung atau tidak kepada kakitangan TM negeri untuk sentiasa bersemangat melaksanakan tanggungjawab khususnya melalui penerapan nilai budaya kerjasama demi kebaikan bersama,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, bagi Tuanku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al Qadri yang sempat hadir merasmikan majlis berkata, penganjuran Kembara Alam Semula Jadi Bukit Tampin diharap dapat diadakan secara berterusan dengan gabungan lebih ramai pihak.
Katanya, langkah berkenaan secara tidak langsung akan mempromosikan Bukit Tampin di mata pengunjung luar di samping memperkenalkan lagi kawasan berkenaan sebagai lokasi penganjuran aktiviti riadah sambil menambah ilmu pengetahuan berhubung alam semula jadi.
“Saya difahamkan, Kembara Alam Semula Jadi Bukit Tampin julung kali diadakan sejak pencawang TM di Bukit Tampin didirikan pada 57 tahun lalu.
“Sehubungan itu, program ini wajar dijadikan acara tradisi kerana ia mampu mempromosikan Bukit Tampin”. Katanya.
Menurutnya, pelbagai aktiviti baru boleh diadakan pada penganjuran akan datang iaitu penerangan ringkas berhubung kayu kayan dan tumbuhan sedia ada disini.
“Usaha ini secara tidak langsung memperkenalkan persekitaran alam semula jadi Bukit Tampin dan menarik lebih ramai pencipta alam sekitar ke daerah Tampin,” katanya.
Saturday, November 14, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment